KHEU bertahlil di Kubah Makam Diraja





Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya / Foto : Mohammad Hasif Matzin



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Februari. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, yang berlangsung di Kubah Makam Diraja.


Majlis dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan KHEU serta jabatan-jabatan di bawahnya.


Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, diikuti Tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, Awang Mohd. Saifullah bin Rosli.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, serta ketua-ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan.


Majlis tersebut diadakan bagi menghadiahkan pahala bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, zikir dan doa kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah serta merupakan antara acara keagamaan tahunan KHEU.




Close